Pengenalan
Kurikulum persekolahan kebangsaan
mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada
generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum memenuhi Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat menyediakan peluang pendidikan berterusan
yang memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Penggubalan ini bertujuan untuk
menyediakan warga Malaysia yang mampu menghadapi cabaran pendidikan masa kini selaras
dengan perubahan globalisasi yang pesat.

Seni dalam Pendidikan meliputi
pengetahuan asas dalam Seni Visual yang menggantikan nama Pendidikan Seni yang
terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni visual
di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau
visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera,
seni tari dan seni mempertahankan diri. Pendidikan Seni Visual bertujuan
memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi
kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta
kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada
keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual
memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui persepsi visual,
imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk
dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan
ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina
keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.
Selain itu, Seni Dalam Pendidikan
juga memasukan Muzik sebagai unsur atau elemen penting yang perlu digarap
bersama dalam menzahirkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan.
Muzik adalah sebahagian daripada alam kehidupan pelajar yang sukar untuk
dipisahkan. Tanpa Muzik bererti dunia pelajar adalah kosong. Selain itu, Muzik
juga merupakan budaya masyarakat. Pelajar sentiasa memberi respon kepada Muzik
dan berasa senang hati apabila dapat melahirkan ekspresi diri apabila mendengar
muzik. Asas muzik iaitu irama dan ton juga menjadi amalan pertuturan dan
interaksi harian. Sifat cenderung kepada muzik yang sedia ada pada pelajar
mempunyai peranan tertentu dalam proses perkembangan diri dari segi kualiti dan
sahsiahnya.
Peranan guru ialah ke arah
memperkembangkan sifat – sifat yang merangkumi aspek – aspek emosi kreativiti,
nilai estetik dan etika tertentu. Dengan penglibatan pelajar secara aktif dalam
kegiatan muzik akan dapat membina pertumbuhan dan perkembangan fizikal, emosi,
mental dan sosial pelajar itu sendiri. Selain itu, pengalaman muzik yang menarik akan membantu
meningkatkan minat pelajar terhadap mata pelajaran lain.
Pendidikan dalam apa jua
bidang sekalipun haruslah berbentuk pengalaman yang bermakna. Pendidikan juga
haruslah memberangsangkan dan menghasilkan kepuasan yang semerta serta menimbulkan
minat bagi mendapatkan pengetahuan seterusnya. Hal ini boleh dicapai dengan
menggunakan pergerakan sebagai media pembelajaran. Pembelajaran melalui
pergerakan bukanlah sesuatu yang baharu. Pendidikan pergerakan adalah sesuatu
kaedah pengajaran yang ketara uniknya kerana pelajar sedang belajar untuk bergerak
dan mereka juga akan belajar sambil atau semasa bergerak. Melalui pergerakan,
pelajar itu bergerak, berfikir, dan merasai sesuatu secara langsung. Pelajar
akan dapat mempelajari tentang dirinya sendiri.
Penekanan kepada pergerakan kini
banyak tertumpu kepada potensi nilai pendidikannya, potensi sumbangan terhadap
perkembangan kecerdasan dan potensinya sebagai pemangkin kemahiran dan tabii
sosial yang murni. Matlamat pendidikan pergerakan dalam konteks persekolahan
adalah untuk menyediakan pengalaman – pengalaman berkaitan bagi membantu
pelajar dalam mencapai keupayaan sebagai warga yang bertanggungjawab dan penyumbang
aktif dalam masyarakat.
Pendidikan pergerakan merupakan
salah satu wacana yang menyumbang ke arah perkembangan keseluruhan pelajar
dalam bentuk sikap dan sahsiah pelajar tentang keperluan – keperluan sosial,
emosi dan estetik pelajar berdasarkan kepada holistik perkembangan kanak –
kanak. Pendidikan pergerakan boleh diperhebatkan lagi keberkesanannya dengan
menjadikannya sebagai alat pendidikan yang mendorong kepada kegiatan
penerokaan, kreativiti, proses – proses berfikir dan penyelesaian masalah serta
pengukuhan imej kendiri yang utuh. Dalam hubungan ini matlamat dan prinsip
pendidikan pergerakan tidak akan menyimpang daripada landasan konsep “ kanak –
kanak total “.
Belajar melalui pergerakan membolehkan
perkembangan yang menyeluruh diri kanak
- kanak iaitu perkembangan fizikal dan psikologi, kebolehan untuk
belajar dan bergaul antara satu sama lain. Perasaan terhadap diri sendiri dan
perhubungan dengan persekitarannya turut berkembang melalui pergerakan itu.
1.1
Implikasi Atau Kesan
Positif
1.1.1 Bidang Seni Visual
Seni Visual sekolah rendah
disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni
yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah
bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan
mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan
persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran
kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat
kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang
merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan
mempelajari Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa
pengetahuan dan kemahiran. Antara
pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan,
alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan
mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf
tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses
pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan
maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran
yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan
teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif,
berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi,
menggunakan teknologi bahan dan perkakasan.
Bidang
Seni Visual akan memberikan implikasi atau kesan yang positif dalam pengajaran
dan pembelajaran melalui organisasi pendidikan Seni Visual yang disusun rapi
melalui aspek yang dipentingkan. Antara implikasi atau kesan yang diperolehi
melalui bidang seni ini, ialah :
a. Menajamkan Perkembangan Emosi dan Imaginasi
Melalui aspek pemerhatian secara
aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan
terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria
penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan.
Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang
asas seni visual juga turut diperkembangkan melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid
akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia.
Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej
mental. Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi
dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.
b. Berlaku Pembelajaran Secara
Tidak Langsung
Bidang Seni Visual menggalakkan
murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif
dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek
psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan
bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan,
murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang
dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada
murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka
boleh lakukan dalam penghasilan seni pada masa akan datang.
c. Aplikasi Dalam Kehidupan Harian Sebenar
Bidang Seni Visual memberi
pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya
dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid
terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek
seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat
dalam pelbagai cara. Melalui seni visual ini juga akan menjadikan murid boleh
mengaplikasikan kemahiran seni yang dipelajari dalam kehidupan harian yang
sebenar. Contohnya, cara memberus warna boleh diaplikasikan dalam kerja – kerja
mengecat peralatan kecil di rumah dan sebagainya.
d. Wadah Memupuk dan Menyemai Nilai
Murni
Selain diberi pengalaman membuat
apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan
menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini
termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai
kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya
bila berdepan dengan semua keadaan.
1.1.2 Bidang Seni
Muzik
Asas muzik iaitu irama dan pic, memang sedia
terdapat dalam pertuturan dan pergerakan harian. Keadaan ini menjadikan
kanak-kanak berasa senang dan memberi respon secara spontan dalam melahirkan
ekspresi diri. Kecenderungan seperti ini apabila dikendalikan dengan baik,
memainkan peranan yang efektif dalam proses perkembangan diri kanak-kanak.
Bidang ini melihat perkembangan diri murid
dari sudut penghayatan estetik dalam seni muzik. Sesuai dengan statusnya dalam
struktur KBSR, matapelajaran ini memberi tumpuan kepada peranannya
memperkembangkan domain efektif murid khususnya dalam bidang kesenian. Selaras
dengan itu, bidang ini digubal untuk membimbing murid ke arah menghayati dan
menikmati muzik secara intelektual. Antara kesan positif yang diperolehi murid
melalui bidang seni muzik ini, ialah :
a. Menggalakkan Perkembangan KAP
Penglibatan secara aktif dalam aktiviti muzik yang tersusun berupaya
menggalakkan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor murid, disamping
memupuk nilai sosialisasi. Dari segi kognitif, murid mendapat pengetahuan dan
kefahaman konsep muzik yang asas. Bagi murid sekolah rendah khasnya, aktiviti
muzik dan pergerakan bukan sahaja membantu pertumbuhan kecerdasan kinestetik
malahan berperanan membantu mereka memahami konsep muzik yang abstrak.
b. Melatih Kemahiran Komunikasi dan Interaksi Sosial
Dari aspek sosialisasi, aktiviti menyanyi, bergerak dan bermain alat muzik
secara berkumpulan memberi kesempatan murid berkomunikasi dan berinteraksi
dengan mengamalkan nilai-nilai murni.
c. Menanam dan Menyemai Nilai Murni dan Jati Diri
Di samping itu, terdapat pelbagai bentuk muzik dalam budaya masyarakat
Malaysia yang harus dikenali murid sebagai warisan bangsa. Pengetahuan dan
pengalaman mengenai pelbagai unsur budaya dalam muzik dapat membantu memupuk
elemen jati diri dan patriotisme pada diri murid.
1.1.3 Bidang Seni
Pergerakan
Seni
Pergerakan adalah untuk memenuhi
keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang
cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang
pembelajaran iaitu Kecergasan, Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini
membantu mencapai matlamat bidang seni pergerakan. Murid perlu memahami dan
menghayati pengetahuan, kemahiran dan pengalaman Pendidikan Jasmani agar dapat
mengamalkan gaya hidup cergas sebagai budaya Malaysia. Murid diorientasikan
dengan ilmu dan amalan teori dan praktikal pergerakan bagi membentuk sahsiah
dan sikap untuk menghadapi cabaran hidup. Aktiviti Seni pergerakan yang
terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan
pembelajaran bagi meningkatkan potensi murid ke tahap optimum. Seni pergerakan
juga bertujuan membantu murid menjadi
cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan.
Bidang
seni pergerakan ini menekankan kepada kecergasan sesuai dengan ciri dan
keperluan murid. Pendekatan yang dicadangkan bagi mata pelajaran ini ialah pembelajaran
melalui aktiviti. Murid perlu diberi peluang mempelajari pengetahuan, kemahiran
dan nilai berkaitan mata pelajaran dengan melakukan aktiviti, eksperimen dan
amalan rutin. Murid akan diberi peluang untuk meluahkan emosi, memperkembangkan
proses mental, membentuk perhubungan yang sihat dan melakukan kegiatan fizikal
dalam suasana yang membina dan selamat.
1.2 Rumusan
Matlamat guru-guru sekolah rendah dalam
proses pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membentuk kanak-kanak dengan
kemahiran memerhati, kesedaran dan arif terhadap pergerakan, bunyi, bentuk,
tekstur dan irama. Melalui aktiviti seni daya estetik kanak-kanak dapat
dipertingkatkan. Contohnya menggunakan lagu untuk memperkenalkan tajuk
“Rama-rama”. Semasa kanak-kanak menyanyikan lagu, mereka akan bergerak mengikut
irama seperti lebah sedang terbang. Semua aktiviti seni dalam pendidikan yang
dialami oleh kanak – kanak sangat berkesan dalam mempengaruhi kehidupan mereka
kerana melaluinya akan membolehkan kanak-kanak meluahkan keinginan dan
keperluan mereka. Lazimnya mereka dapat membina pengalaman baru hasil daripada
beberapa penerokaan dalam kehidupan seharian dan akan berasa seronok apabila
dapat mencipta sesuatu yang baru. Untuk meluahkan rasa hati, mereka akan
mencipta sesuatu dengan menggunakan kaedah dan cara tersendiri dalam pelbagai
bentuk.
Rujukan
Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual. ( 2000 ).
Kuala Lumpur : AG Grafik.
Pusat
Perkembangan Kurikulum. ( 2002 ). Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual.
Kuala
Lumpur:
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Md. Nasir Hj. Ibrahim. ( 2003 ).
Pengurusan Seni. Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan
Sultan Idris.
Mazlan Mohamad. ( 1996 ). Pendidikan Seni I, Prinsip Pendidikan Seni. Kuala Lumpur: Kumpulan
Budiman Sdn Bhd.